Penerbitan Malaysian Ghost Stories

Menurut Arie Zaharie, Penerbit ‘Malaysian Ghost Stories’, objektif utama yang ingin disampaikan kepada penonton ialah untuk memaparkan pelbagai kisah hantu yang sering diceritakan di Malaysia sebagai hiburan untuk memberi kelainan. Kebanyakan generasi muda zaman sekarang kurang percaya dengan kewujudan entiti seram. Drama seram ini menghimpunkan semula kisah-kisah tersebut untuk dijadikan asas penceritaan utama.

Drama ‘Malaysian Ghost Stories’ bakal mengupas secara terperinci kepelbagaian jenis hantu yang sering didengari di Malaysia agar dapat memberi gambaran dan visual yang jelas mengenai bentuk, rupa dan sifat hantu tersebut serta bagaimana cara untuk mengatasi sebarang gangguan mistik sekiranya ada. Setiap kisah yang ditonjolkan sarat dengan nilai murni untuk diambil sebagai teladan dan pengajaran agar kita tidak sewenang-wenangnya mempersendakan kewujudan makhluk ini.

Daripada segi persediaan untuk menghasilkan drama seram, pihak produksi turut mendapatkan khidmat nasihat pengamal dan pakar dalam perubatan Islam sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini sewaktu di lokasi. Untuk pengetahuan, Imam Kanan Masjid Wilayah Persekutuan iaitu Ustaz Tuan Asmawi turut membuat penampilan istimewa dalam salah sebuah episod.

Berkaitan